Selamatkanlah ‘Al-Aqsa’ (Umat Islam mesti bersatu pertahankan Al-Aqsa)

Al-Aqsa_wall


Kenyataan Rasmi ISMA Berkait Perkembangan Terkini di Palestin dan Masjid Al-Aqsa

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengikuti perkembangan mutakhir di bumi al-Aqsa dengan penuh prihatin, kebimbangan dan harapan, dengan memanjatkan doa kepada Allah swt semoga pejuang-pejuang Palestin yang mempertaruhkan nyawa mereka dan berada di barisan hadapan bagi mempertahankan tanah suci Islam ketiga itu sentiasa dibekalkan dengan kekuatan dan ketabahan.

Tindakan orang-orang Yahudi menceroboh masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan kekejaman polis Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang menentang pencerobohan itu bukanlah pertama kali berlaku, dan bukan juga satu insiden yang dicetuskan oleh puak pelampau Yahudi secara tak terancang, sebaliknya ia merupakan satu siri pencerobohan yang disusun atur oleh regim Zionis sejak mereka menjajahi Baitul Maqdis pada tahun 1967.

Semenjak tarikh itu, mereka terus-menerus berusaha untuk meyahudikan Baitul Maqdis, menghalau penduduk Islam dan Kristian, merubah segala kesan-kesan Islam. Mereka berusaha untuk menghapuskan Masjid al-Aqsa untuk digantikan dengan berhala mereka. Mereka pernah membakarnya pada tahun 1969, merampas Tembok al-Buraq lalu ditukar menjadi Tembok Ratapan.

Keadaan bertambah buruk apabila sikap kerajaan negara-negara Arab dan Islam yang pasif menambahkan lagi kerakusan regim Zionis dan orang-orang Yahudi melakukan tindakan-tindakan mereka yang melampaui batas itu. Bahkan seluruh anggota badan-badan hak asasi manusia di seluruh dunia, juga mereka yang mencintai keadilan dan bersimpati dengan nasib penduduk Gaza yang dibedil Israel pada penghujung tahun lepas, dikejutkan dengan tindakan pelik Pihak Berkuasa Palestin yang menarik balik tuntutan untuk membawa regim Israel ke muka pengadilan dan menangguhkannya selama enam bulan, sedangkan laporan mengenainya telah disempurnakan oleh pasukan yang diketuai oleh Goldstone dan hanya menunggu masa untuk dibentangkan dalam Dewan Hak Asasi Manusia PBB.

Sehubungan dengan itu, Ikatan Muslimin Malaysia menyeru:

1. Para intelektual dan cendekiawan agar menggandakan usaha-usaha penyelidikan dan kajian, mengadakan seminar-seminar, untuk mendalami dengan lebih lanjut tentang fakta-fakta yang sahih mengenai hak milik umat Islam terhadap Baitul Maqdis dan perancangan jahat Zionis-Amerika di bumi Palestin. Seterusnya mereka hendaklah melancarkan usaha yang berterusan untuk menerangkan dan menjelaskan kepada umat Islam, terutamanya di Malaysia, akan hakikat sebenar isu yang menjadi persoalan sedunia sejak lebih 50 tahun yang lalu.

2. Para ulamak agar berterusan mengeluarkan fatwa-fatwa terkini berkaitan perjuangan membebaskan bumi Palestin, tanah suci umat Islam yang ketiga dan kiblat yang pertama ini, serta bekerja keras mengajar dan membangkitkan kesedaran umat Islam tentang kewajiban mereka dari sudut akidah dan syariat yang menuntut segala bentuk sumbangan dan pengorbanan sehinggalah tanah suci yang terjajah ini berjaya dibebaskan.

3. Para ahli politik agar meninggalkan perbalahan dan persengketaan dan memberikan tumpuan kepada isu Palestin yang bukan lagi hanya isu umat Islam, bahkan isu kemanusiaan sejagat. Mereka juga harus mengambil pengajaran daripada isu ini bahawa kepentingan umat dan rakyat hendaklah diutamakan mengatasi kepentingan-kepentingan politik kepartian yang sempit.

4. Seluruh individu muslim agar memulakan usaha untuk membebaskan diri sendiri terlebih dahulu daripada belenggu kecintaan kepada kebendaan, menyemai sifat kasihkan saudara seagama kita melebihi kita mengasihi diri sendiri. Seterusnya segeralah memulakan usaha yang pratikal, dengan menyumbang dalam bentuk wang ringgit, menyebarkan kesedaran kepada orang lain, mendidik anak-anak dan generasi muda akan kepentingan mempertahankan dan berjuang membebaskan tanahair dari segala macam bentuk penjajahan sama ada politik, ekonomi, sosial, pemikiran, akhlak dan sebagainya.

5. Seluruh umat Islam agar terus memanjatkan doa kepada Allah swt dan melakukan doa qunut nazilah di masjid-masjid dan surau-surau bagi memohon kemenangan umat Islam khususnya para mujahidin di Palestin ke atas musuh-musuhnya yang tidak henti-henti melakukan perancangan jahat bagi melenyapkan cahaya Islam dari muka bumi.

Semoga saranan ini mendapat reaksi positif daripada semua pihak. Sesungguhnya Allah sahajalah pemberi hidayah dan taufiq.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Bandar Baru Bangi
20 Syawal 1430H bersamaan 9 Oktober 2009M

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s